
'Fikir sebelum buat'. Tak pernah semua kalangan manusia buat, padahal ia adalah nasihat yang paling purba di dunia. Sami'na wa ata'na. kami dengar dan kami taat. Maknanya, manusia mendengar mesej/gelombang yang dikatakan ilham/wahyu dari Tuhan. Mungkin perantaranya malaikat/manusia/makhluk/alam juga iblis sendiri, maka selepas itu manusia pun buat. Yang lainnya adalah kesan-kesan. Sebab dan akibat.
Kau hendak jadi penulis? Hendak jadi artis? Hendak jadi seniman? Hendak jadi YB? Hendak jadi perogol? Hendak jadi motivator?... dan seterusnya. Kesemua itu adalah kehendak-kehendak i.e. 'nafsu' yang tidak akan pernah habis. Seorang pelukis hendak menulis, seorang presiden hendak berniaga roti, seorang penyapu sampah hendak berniaga burger, seorang penjahat hendak jadi baik. Menukar posisi kehidupan tak salah. Walaupun kau berumur gayut 60 ke 70-an. Manusia dikurnia Tuhan anggota badan, untuk berbuat. Yakni melakukan benda. Kebebasan memilih dan berbuat perkara adalah hakmilik individu. Cumanya, pemilihan itu mestilah dibuat ukuran. Muhasabah, retrospektif. Kena perlu bertanya di dalam diri. 'Kenapa aku berbuat sebegitu rupa? Kerana semua manusia buat begitu?'. Maknanya, dia itu tidak lebih kepada pelaku seorang peniru. Mimesis. Mengulang-tayang mengikut skrin 'projeksi' yang telah didirikan Ilahi berjuta tahun lampau. Juga sebenarnya tidak salah. Mencari keunikan dan kepuasan individu juga adalah 'suruhan' Tuhan. Dalam kehidupan, jangan melakukan apa yang nenek moyang kamu lakukan, yakni peniruan yang menimbulkan kerosakan di mukabumi. Bacalah cerita-cerita dahulukala. Semua mempunyai pengajaran dan moral yang terselindung. Apa, kamu ingat moyang-moyang kita dulu semua bodoh dan tinggal di dalam gua? Berbulu dan berserabut tubuh badan mereka? Jika kamu berfikir begitu makanya kamulah yang sedang bodoh dan diperbodohkan media moden. Kamu perasan diri sedang hidup dalam era moden, padahal kelakuan/tabiat kamu lebih teruk dari orang-orang gasar. Apa kamu ingat kamu pandu Mercedes, BMW kamu sudah gah mengaku bahawa kamulah paling beruntung di duniawi, paling moden, paling ber'ilmu' tinggi? Padahal, kamu belum mengira, mungkin pendapatan kamu itu tidak bersih. Masih terdapat pekerja kamu yang kelaparan, belum makan. Mana haknya yang kamu ambil itu?
Imam Ali pernah berkata, “Seorang yang hina adalah mulia dalam pandanganku jika aku harus menegakkan haknya dan orang yang kuat adalah lemah dalam pandanganku jika aku harus mengambil hak orang lain darinya”.
Kau boleh berbuat apa saja dengan mempunyai ilmu. Kau boleh bertukang, tetapi perlu belajar teknik pertukangan. Kau boleh merawat orang, tetapi perlu belajar ilmu perubatan dan kedoktoran. Apakah 'ilmu'? Pandai matematik belum tentu banyak ilmunya. Ada beza antara ilmu pengetahuan, ilmu pengenalan. Ada beza antara kepandaian dan bijaksana. Bak kata Musa sewaktu mencari Khidr, hingga kita tiba ke 'pertemuan' antara dua 'sungai', maka kita akan bertemunya (kebijaksanaan).
Wallahualam bis sawab.
Notakaki: Gambar adalah potret Sun Tzu, ahli falsafah dan pakar strategi China mengikut gambaran pelukis.
0 komen jujur:
Catat Ulasan