29.11.10

Fasal kenakalan memperihal Tuhan


Cubalah sejujur mungkin. Gambarkanlah 'wajah' Tuhan. Untuk makluman, ini bukan entri tentang falsafah puisi atau sajak kesufian mahupun ketuhanan. Ia tentang keberadaan, tentang keadaan, tentang proses perjalanan masa dan erti penyembahan. Sedalam mana, secetek mana pengetahuan, manusia tetap dengan kenakalan dan keinginannya sendiri untuk memperihal Tuhan. Terperusuk ke sudut peribadi. Ia tak dapat dijelas secara tulus mahupun secerahnya. Ada yang memperihal Tuhan berkaitan sifat dan zat-Nya. Ada yang menggambar dari sudut bentuk dan simbolnya, ada yang cuba menyamakan Dia dengan ciptaan-Nya. Maka, apa 'bayangan' kamu tentang Tuhanmu?

Oh, mungkin kamu masih terpejam lena. Kamu masih terbuai dengan sifat fanatik kumpulan dalam kumpulan, tabir penghalang masih berdebu di kelopak matamu. Mana mungkin kamu melihat cantiknya bulan, jika jendela rumahmu masih terkunci kemas?

Kerana Tuhan itu adalah hebat dari segala jadian, bagaimana kamu hendak meletak 'Tuhan' seadilnya? Bukankah dia itu tidak bertempat dan tertakluk masa? Oleh itu, kenapa dalam kitab-Nya Tuhan memperihal tentang 'singgahsana'? Tentang urat halkum? Tentang 'dekat'nya Dia dengan kita? Sekiranya Tuhan berada dalam jiwa manusia, adakah Tuhan berupaya berada dalam roh binatang? Bagaimana dalam tumbuh-tumbuhan? Makin berimaginasi, kau takkan bertemu satu hakikat pun. Kau hanya bersangka-sangka. Segala ibadatmu hanya dilakukan kerana rasa pasrah berserah dengan-Nya. Dalam kau ketakutan, kau juga tidak terlepas dari perlakuan dosa, baik sengaja atau tidak. Dalam ketamakan dan kesombongan, kau memperihal Tuhan mengikut wahammu, padahal Dia tidak mungkin sebegitu. Itu sekadar telahanmu?

Itulah kita, dalam kenakalan memperihal Tuhan, kita saling bertengkar, berebut-rebut tentang kebenaran mutlak, yang akhirnya, bukanlah milik kita.

Kebenaran adalah Dia, yang diam di 'singgahsana'.


Jika aku salah, tegurlah aku, jika aku betul, katakanlah segalanya dari Tuhan.


*Gambar berkemungkin catan khayalan pelukis berdasarkan kisah di mana pengikut Nabi Musa ingin melihat 'wajah' Tuhan mereka (yang juga Tuhan kita, sebenarnya).

2 komen jujur:

shazleeshahazeman berkata...

oh tidak ada apa yang salah dalam tulisan ini.


perkataan-perkataan menunjukkan posisi Allah itu harus diterima bulat-bulat dan nekad-nekad,tanpa sebarang tanya.

dan kenakalan ini bertempat,lantas padat.

Anak Bumi berkata...

saya rasa tak salah juga. Cuma, banyak hal2 yang berkaitan agama dianggap taboo dan 'haram' dibicara manusia bertaraf 'marhaen', maka kita nampak jalur Islam itu hanya untuk upacara2 bertaraf negara saja...tiada roh.

hmm, wallahualam bis sawab.. :)