25.6.10

Kaya & miskin, sebuah paradoks yang takkan selesai di dunia ini.


Umum, manusia itu sering membeza-bezakan. Mereka melihat, menafsir, kemudian meletak sesuatu menjadi hukum. Tak kiralah dia itu insan moralis atau amoralis. Manusia sudah begitu fitrahnya.

Sudah banyak kiranya aku menulis perihal kaya dan miskin dalam blog Ringan-ringan ini. Dan rasanya sudah jenuh dan letih aku memperihal makna kedua entiti itu dalam wahamku. Jika kamu faham, maka beruntunglah, jika kamu berasa sangsi, mungkin aku yang salah. Dan kepada-Nya lah kita akan kembali.

Begini, untuk tidak melalut lebih panjang, baik aku terus ke isi. Saudara dan saudari, kaya di dunia memang satu keinginan setiap makhluk manusia. Namun begitu, ada juga mereka yang lari dari kekayaan. Bukan bermakna mereka-mereka ini insan malas dan tidak berpelajaran. Ingat itu baik-baik dalam kepala otak kamu semua. Jika kamu memandang insan yang sedang berjalan kaki, kayuh basikal, berpakaian compang-camping, tidak bermakna mereka itu bodoh. Betapa kau lihat mereka yang berpakaian hebat, kemas bergaya namun akalnya dangkal seperti keldai. Mereka hanya menurut apa sahaja arahan tuan mereka biarpun mereka akhirnya terjun ke dalam gaung. Wah, 'lemming'nya mereka!

Soalku, apa itu kaya? Kemudian kamu akan menyenarai segala macam pemilikan alat, perkakas, barang dalam dunia sebagai menjustifikasi apa maknanya sebagai insan kaya. Misikin pula? Lalu kamu mengatakan orang yang miskin ialah apabila mereka tiada segala barang-barang tadi. Wah, senangnya. Baik, kamu ceritakan padaku, adakah barang-barang tadi kekal? Aku bagi contoh, komputer. Adakah ia kekal sehingga ke anak cucu kamu? Begitu juga pakaian kamu yang paling mahal di dunia sekalipun. Kenapa kekayaan ditafsirkan dari sudut kebendaan? Insan bodoh manakah yang awal-awal sekali menjawab bahawa menjadi kaya ialah apabila kita mengumpul harta? Adakah dia itu Haman, Qarun atau Firaun? Kemana pula menghilangnya orang-orang yang pernah merasai nikmat kekayaan di mukabumi ini? Adakah mereka hilang terus dari dunia atau masih ada di kalangan kita? Setelah mereka menemui mati, adakah mereka masih merasai pengalaman memandu Ferarri baharu mereka, boleh menekan kekunci di iPhone mereka, atau mereka boleh tidur di atas tilam empuk banglo RM sejuta mereka?

Jangan salah anggap. Aku tidak membenci mereka yang 'kaya' harta itu, cumanya aku kasihan. Lebih-lebih lagi kiranya mereka sedang berebut-rebut untuk kelihatan kaya di mata kenalan mereka. Mereka mencuri, menipu, merompak harta orang lain demi untuk memastikan mereka kelihatan kaya seperti tadi. Adakah mereka menemui bahagia? Tidak sama sekali. Bahkan, jiwa merekalah yang paling merana di dalam dunia dan selepas alam dunia ini.

Dalam dunia sekarang, miskin itu adalah apabila kamu kelihatan tidak up-to-date, tiada handset berharga seribu, tidak ada kereta baru, tidak punyai rumah, tidak berkerjaya tetap dan segala. Baiklah, kenapa kamu tidak bertanya mereka-mereka yang dilabel 'miskin' tadi, adakah mereka bahagia? Jika mereka zuhud kepada dunia, sudah tentu mereka adalah di kalangan yang paling bahagia. Jawabnya, mereka tidak punyai hutang keliling pinggang, mereka berbelanja seadanya, membeli bila perlu, memakai pakaian bak mengukur baju di badan sendiri. Mereka sedar bahawa memiliki sesuatu dan bermegah-megah dengannya tidak akan membawa mereka ke mana-mana pun. Malah, perbuatan jelek itu sebenarnya akan membawa manusia ke neraka abadi.

Jadi, sekiranya aku mengatakan tipudaya paling besar di dunia ini adalah tentang definisi kekayaan, kemiskinan dan kebahagiaan abadi, adakah kamu semua bersetuju denganku?


Wallahualam.

2 komen jujur:

squesha berkata...

biar miskin harta,asal kaya hati :p

Anak Bumi berkata...

jangan terfana lagi ye?