
Menjadi selebriti. Itulah yang digemari oleh setiap anak-anak membesar. Mereka yang rendah selalunya melihat ke atas. Jika 'menara' yang mereka lihat itu cantik, maka cantiklah tumbesaran mereka nanti. Jika menara itu condong dan buruk, maka itulah halnya impian yang dianyam hati.
Katakan aku letak nama seorang kanak-kanak perempuan, seumur 15 tahun. Namanya Sherry (nama panggilan, bukan sebenar). Keluarganya tidaklah seindah keluarga kamu, ayahnya hilang entah ke mana. Ibunya berkahwin lain, jadi adik-beradiknya sudah bertambah, campur dengan adik-beradik tiri. Menginap di dalam sebuah rumah flet RM800 sebulan harga sewanya di Kg Baru, ia adalah sebuah penginapan paling murah dan 'miskin' bagi penduduk kotaraya Kuala Lumpur ini. Lumrah bagi Sherry, dia membesar dalam persekitaran yang menuntut kanak-kanak kecil sepertinya untuk kelihatan menarik dan disukai ramai. Seperti halnya konsep ilusi 'selebriti' itu tadi, Sherry beserta tiga orang lain sahabat baiknya, Finas, Fit dan Ain, mereka akan cuba untuk kelihatan tergolong dalam manusia yang berpenampilan menarik. Ke sana sini, mereka bergaya, mengenakan lipstik dan pewarna kuku, baik pink dan hitam, berpotongan rambut ikut trend terkini, mewarna rambut perang, berguntingan ala caca-merba semuanya mereka pernah mencuba. Kalau pada waktu pagi mereka memakai pakaian sekolah cantik putih berseri, waktu petangnya dihias dengan pakaian era kini yang banyak diperaga di pusat beli-belah Bukit Bintang dan Kompleks Pertama. Itu baharu bab pemakaian dan luarannya, belum masuk ke bab hati budi.
Katakan jua, mereka berempat, kerana habuan keseronokan yang begitu hebat serangannya, mereka memerlukan tempat untuk meluahkan rasa bosan. Kehidupan mereka di flet yang 'jumud' dan berkotak kecil itu selalunya menyempitkan pandangan dan impian besar anak-anak, lalu mereka akan ke sarang di mana terdapat nilai indah habuan seronok pandang mata. Ke kotaraya lah destinasinya mereka. Mereka akan mulai minat dengan rakan lain jantina, lelaki kacak dan comel yang menjadi rebutan di sekolah contohnya. Apatah lagi pertemuan bibit mesra di ruang internet, sembang maya, Myspace, Facebook dan Friendster misalnya. Berkenalan dengan jantina berlawanan sememangnya mengghairahkan. Dari permulaan kenal itulah mereka akan mencumbui belai rayu, kerana syahwat tidak mengenal umur, rupa dan bangsa, mahupun agama. Syahwat akan datang dan mematuk tempat kita yang paling lemah. Apatah lagi kanak-kanak sebaya 15 tahun seumpama Sherry itu tadi. Dia, kerana kecilnya pengalaman, terhadnya ilmu pembacaan, dia akhirnya akan lemah dalam pangkuan kawannya si lelaki yang memang dasar tidak pernah membaca dan menuntut ilmu, hanya suka mendengar muzik keras dan mendayu dan menonton dongengan Astro yang penuh cerita mengarut dan mengadu-domba saja rancangannya. Pembacaan majalah hiburan, sensasi artis dedah sana-sini, telah menyebabkan kanak-kanak lelaki tadi , katakan bernama Faris itu hanya bernafsu dengan paha Sherry nan montok akibat tidak ditutup atau sengaja dibuka untuk tontonan rakan-rakannya. Alah, apalah sangat aurat wanita kecil, katanya si ibu Sherry, yang berwajah kedut seribu dengan gincu tebal, rambut mengerbang warnanya perang. Lalu, mereka bertemu-sua di komplek Pavillion, untuk bermesra-mesra, lalu putiklah buah cinta sesama mereka. Ibubapa telah lama menghilang dari ingatan, syaitan telah menghembus satu mimpi pesan palsu, supaya mereka saling bercumbu-cumbu, di tempat terselindung, di sudut tangga atau tandas yang tidak diketahui manusia. Manalah mampu untuk menyewa hotel dan rumah tumpangan, tambang teksi pun mak ayah tolong bayarkan? Kemudian drama menjadi klimaks, graf melengkok ke tahapnya apeks, batang berjuntai, lubang gua terbuka luas, segala apa yang haram, dan telah termaktub haram, dianggap halal dan setengah haram, walau sedikit cuma, pelepas nafsu membara. Pancutan air di hadapan Pavillion menjadi satu fragmen ingatan, sebagai saksi pada satu hari nanti, bahawa daranya telah menjadi penebus, kepada nilai hambatan RM sepuluh atau kurang, atau McDonald atau KFC satu snack plate, atau apa-apa saja lah!
Dua minggu kemudian, perutnya membusung, akalnya buntu, diusungnya jiwa nan satu, bayi nan sulung itu, namun diamnya lidah Sherry seribu. Apalah nasibku ini, sudah ditebuk dibuang pula, ditinggalkan Faris yang inginkan wanita lebih tua. Memang dasar lelaki bacul kotenya seinci, keberaniannya hanya di takuk, bukan pada pangkal jiwa. Lalu, Faris, hanyut dalam peluk asmara, wanita-wanita kota, satu persatu lemah dalam dakap lesu, insaf itu jauh, bak kita dan fatamorgana. Lompatan dosa demi lompatan dilakukan, mungkin akhirnya nanti jatuh ke dalam jurang paling dalam, yang mampu membuat akalnya mati, jiwanya menjadi keras umpama kayu, lalu dia akan hanyut di arus sungai hingga ke dasar lautan kehinaan. Di situ nanti , mungkin dia akan temui keseronokan yang sebenarnya, mungkin.
Sherry, kerana tidak mampu menanggung berat seorang diri, dibuang ibu dan juga famili, berpindah rumah dari hari ke hari. Dari rumah Finas, ke rumah Fit, Ain dan lain-lain yang masih mengasihani. Sekolah ke mana, didik asuh lagilah pula. Perut yang makin membesar membuat jiwa makin onar membakar, syaitan datang sekali lagi. Di kipasnya api membara itu. Bagaimana aku mahu membesarkan anak seorang diri? Soalnya yang konon sudah insaf sejuta, tetapi Tuhan Maha Mendengar lagi Tahu Dia akan segala. Lalu, kata putus tercapai sudah, digugurlah ia janin tidak berdosa, memakan nanas berbagai jumlah banyaknya. Proses membunuh itu sekejap cuma, bahkan dikatakan akal ia adalah kerja yang mulia. Persetankan umpatan orang ramai, mereka itu berlagaknya alim, konon menasihati manusia terpinggir seperti aku, kata Sherry.
Seminggu sudah berlalu, janin itu telah lama dibuang di dalam tong sampah, agar manusia lain datang terjumpa, atau dimakan anjing liar sahaja? Itulah harga sebuah kehidupan, bagaimana Tuhan sering mengingatkan kita akan dosa yang dilaku terhadap makhluk? Bahawa membunuh itu adalah dosa besar yang tidak terperi dahsyatnya, Habil dan Qabil menjadi kisah pertama? Itulah, dari cumbu syahwat, kita akan lemas dalam dosa sepanjang zaman.
Berkata pula para ahli moral yang mulutnya berbau busuk, 'dosa adalah perkiraan manusia masing-masing, kita tidak berhak menghukum seseorang itu.'
Bagaimana halnya pula, sekiranya Sherry itu adalah anakmu? atau kaum kerabatmu menjadi alat pelepas nafsu serakah insan celaka seumpama Faris tadi? Adakah kau dari saat itu barulah mahu mengalir airmata kesesalan? Atau kau hanya tertawa gembira, menyelak satu-persatu helaian akhbar tempatan yang menulis tentang tragedi tidak ternoktah itu?
Kau, sebenarnya adalah jalang dan sial, yang sering menjalani hidup untuk dirimu sendiri sahaja, tanpa mengambil berat akan jiwa lain yang terseksa.
*Gambar di atas bukanlah wajah Sherry, hanya hiasan untuk tatapan.